Rukun-Rukun Asas Hinduisme Hinduisme

  • Setiap agama mempunyai rukun-rukun asasnya yang tersendiri. Agama Hindu penuh dengan kepelbagaian. Suatu mazhab mungkin mengutarakan sesuatu yang amat bertentangan dengan mazhab yang lain. Misalnya, satu mazhab menyatakan bahawa dunia adalah ilusi. Mazhab yang lain pula menyatakan bahawa kewujudan dunia adalah benar. Suatu mazhab berpendapat bahawa Roh adalah sesuatu yang kecil dan halus; dan satu mazhab yang lain menyatakan bahawa Roh amat besar dan merangkumi segala-galanya. Demikian, kepelbagaian dan percanggahan wujud dalam hampir semua aspek agama Hindu. Ini menjadikan tugas memahami agama Hindu sesuatu yang sukar atau hampir mustahil.
  • Namun, kita tidak perlu berputus asa. Dalam semua percanggahan dan kekaburan ini, wujud beberapa ciri-ciri umum yang menyatukan semuanya di bawah sebuah bumbung. Ciri-ciri umum ini adalah rukun-rukun asas agama Hindu.